Sunday, 1 June 2014

Mendung Itu Aku Pikul




Perpisahan itu selalu ada. Tidak dinamakan perpisahan jika tiada pertemuan. Kita pernah berjumpa, bergurau, bercanda dan bermain sama. Oh, indah sungguh saat-saat itu. Namun, ternyata perpisahan itu sangat memedihkan. Seakan hati ini dirobek-robek, dihiris-hiris dengan langkah yang kau hayun itu.

Hari ini, titis-titis air mata yang berlinang, akan menjadi saksi jalinan ukhuwah yang kita simpul tak bertali itu. Hebatnya penangan ukhuwah, mampu membuat si 'singa' menangis, mampu membuat si 'kucing' hilang senda dalam gurau.

Tiada kata yang mampu aku ucap. Hanya aksara pena menjadi sungai pengalir perasaan ini. Derai tangis yang selalu bertaburan dari kornea hitam ini meratapi kehilangan susuk tubuh itu. Selamat jalan. Silakan lanjutkan perjuanganmu ke arah yang lain, di tempat yang baru. Tempat itu akan menjadi jarak pertemuan kita. Meski begitu, masihkah kamu ingat, hadaf kita bersama? Untuk meninggikan syiar Islam? Jangan kamu lupa!

Argh, hati dan jiwa ini kembali terluka dengan perpisahan raga. Aku kuatkan diri ini. Aku percaya, semakin jauh kakimu mengorak langkah, semakin dekat hati kita akan mendekat. Kerana hati kita sudah terikat dengan jalinan ukhuwah yang erat.

Buat sahabat, usah engkau bersedih dengan perpisahan ini. Berbahagialah. Engkau akan ketemu suasana yang baru, bukan disini lagi, tapi di sana. Tanah di sana tidak sama dengan tanah di sini. Awan-awan yang bergerak riang berbeza riangnya di sini.

Cukuplah setiap kenangan yang kita tanam, menjadi tanaman yang akan tumbuh subur mekar berbunga. Berbuah menyemai benih cinta dan cita antara kita. Aku perlu kau di sini. Namun, kita tak boleh selalu bersama. Sudah tiba masanya kau melanjutkan langkah ke tempat yang baru, jalan yang engkau sedia tapaki.
Perkuat langkahmu sahabat. Yakinkan diri dan hatimu bahawa hari esok akan muncul dengan lebih cerah. 

Hari esok adalah harapan yang mesti engkau raih seraihnya. Bangkitlah dengan senyum yang lebar, bangunlah dengan wajah yang ceria. Cahaya persahabatan kita tidak akan luput dimamah masa. Cahaya persahabatan tak akan sirna. Kita akan bersatu selamanya dalam nafas itu.

Biarkan air mata ini mengalir. Biarkan ia jatuh sesuka hati, mengucap kata-kata manis dan puisi-puisi indah. Biarkan, air mata tak bererti sedih, air mata tak semestinya tanda duka, air mata juga lambang bahagianya hati. Biarkan ia menemani aku pada hari ini. Kerana ia memang hadir untuk perpisahan.

Segala rindu yang muncul selepas ini, segala nafas yang terhembus, segala harapan yang kita raih, segala langkah yang kita ayun, yakinlah, di sana juga ada kejayaan menanti. Di sana juga ada barakahnya sendiri. Usah kau khuatir.

Bergembiralah. :D

Budak Kurek,
010614,
Kelantan.


0 comments:

Post a Comment