Saturday, 31 May 2014

Subjek #Pertama

Peluh berjurai menitik. Sorang-sorang aku tilik mukanya dari jauh. Nampak bahagia. Tapi aku tahu , makin banyak bahagia ditelan, makin pahit perpisahan kau kena kunyah.

Main lagi. Bola tak pernah diam. Terkadang menerjah gawang, terkadang berpusing-pusing saja di kaki , ole demi ole, gelecek dan skill semua habis dihambur.

Itu kalau lihat pada kaki dan bola. Tapi bila diangkat mata melihat wajah masing-masing, semua gembira. Senyum tak lekang macam baru pertama kali guna bibir dan gigi. Macam taknak berhenti lagi bila ketawa. Terbahak-bahak lihat gol ole. Terguling-guling tengok lastback assist sampai gol.
Priiit. Wisel mulut berbunyi tanda penamat.

Semua berkumpul separuh bulat. Waktu kemuncak telah tiba. Segala peluh futsal berganti peluh dingin simbol risau. Oh, mungkin takut. Atau barangkali, sebagai indikator hati bakal menangis ?
Sorang-sorang bangun. Bagi ucapan terakhir. Bagi kalam-kalam yang selama ini terperuk di hati, tersekat di kerongkong.

Tapi fikiran aku pergi tempat lain. Hati juga. Jiwa terbang melata. Singgah sekejap di daerah asing. Mungkin asing bagi orang, tapi aku dah biasa. Selalu sangat berkunjung tanpa niat, tersadai tanpa arah. Daerah kenangan.

Aku sampai situ lagi. Wajah Ulfa Hassan yang aku tenung tadi pecah perlahan, membentuk piksel-piksel kecil lalu hilang dalam kenangan yang terbit tiba-tiba.

" Ulfaa . . ! "

Dari hujung lorong aku menjerit. Memang itu kerja aku hari-hari. Pantang nampak mesti nak panggil. Esok ada tasmi' . Dan macam biasa, aku akan duduk sebelah dia. Kadang-kadang bila lelah mengaji, aku tengok dia, tengah mengulang penuh hamasah.

Bila bosan aku kacau dia. Macam biasa. Just be yourself orang kata. Pagi-pagi kalau bukan aku yang awal, dia yang awal. Sama-sama tasmi' dan mengulang. Tidur bangun makan tidur, tanpa sedar tarikh semalam telah 5 bulan berlalu. Bagai melangkau masa, tanpa amaran aku tertolak ke masa depan.

Sudah 5 bulan lebih, menghampiri enam. Ini masa-masa terakhir. Ini saat-saat dia pergi. Aku bukan mahu berlari membontoti dia, mengekang impian, membantutkan harapannya ke dunia luar, merentas berjuta-juta gelen air dan beribu-ribu tan tanah,   -Morocco . Cuma sedikit terkilan. Seakan baru muka surat pertama kitab persahabatan kita dicoretkan . Atau barangkali perenggan pertama pun belum ketemu noktah, hanya sedikit koma dan beberapa tanda seru dan soal.

Fikiran yang sedia kecamuk cuba terbang mencari damai. Mencari dahan kukuh buat bertenggek. Tapi, ah, salah dahan pula. Dahan ini pasal masa depan. Ketika aku nampak aku akan ditinggal seorang dalam jemaah ramai. Macam akan sesat. Sesat padahal banyak signboard untuk keluar, sebab aku yang tak mahu. Aku yang pilih.

Bila tasmi' nanti aku akan murung. Lagi-lagi bila tengok rehal kosong sebelah aku, tergeletak kaku tanpa al-Quran diatas. Tanpa pembaca berlagu warsh dengan burdah cantik, cukup buat petik hati manusia di sebelahnya selama ini. Halaqah bakal rasa kosong. Hati aku akan pedih .

Ustaz juga aku yakin, akan murung dan sedih. Lepas ni siapa lagi yang aku nak tolak bahunya suruh baca doa? Siapa lagi makhluk yang aku nak hack handsetnya ? Siapa lagi yang aku nak kacau dengan sungguh-sungguh, tapi dibalas "haha.lawak sikit" sambil pamer muka toya tanda mahu disakat lagi?

Sungguh aku akan rindu itu. Lepas ini petang-petang bila aku lewati bilik yang pernah penuh dengan kitab itu, yang ada hanya tilam kosong dengan katil kaku tanpa empunya. Aku akan tempang tanpa semangat. Hamasah aku akan luntur. Bukan aku mahu tapi ini yang berlaku. Takkan mahu menolak hakikat semata-mata mahu buang perasaan cliche?

" . . . tapi jangan risau, mungkin lepas cuti ni aku ada lagi kot ngan korang . . . "

Sosok bernama Ulfa berbinkan Hassan itu menyudah bicara. Aku tiba-tiba tersedar.
oh, kat court futsal lagi rupanya

Kembara ke kota memori tadi sudah tamat. Aku balik ke court futsal. Mata automatik mencari figure itu. Kawan yang berbaki dua tiga jam lagi dapat aku lihat secara literal pakai pancaindera.

-------------------------------------

Ini cuma sedikit kalam yang aku lontar. Sengaja mahu menyimpan tujuh-lapan kapal lagi luahan di hati. Tunggu masa saja untuk aku muntahkan. Nama pun subjek pertama bukan?
Bicara ini cuma muqaddimah. Aku lelah + malas untuk menaip panjang. Akan ada perenggan yang bakal menyusul. Moga-moga cerita itu nanti penuh taujihat ilmu. Bukan lagi adu kosong bagai si bodoh yang buta melihat hakikat ummatnya sedang tenat.

Terima kasih.

0 comments:

Post a Comment